“Cikgu, 24 jam sehari mana cukup! Ada banyak subjek yang nak kena belajar dan hafal”.

Ini antara keluhan yang paling popular kami dengar daripada kalangan pelajar tiap kali mereka diminta melakukan kerja rumah Sejarah. Rata-rata pelajar mempunyai 6-10 subjek yang perlu diulang kaji dan pelajari setiap hari. Ini menuntut pelajar untuk menjadi lebih bijak dan efisien dengan pengurusan masa mereka untuk memastikan mereka mempunyai masa yang cukup untuk mengulang kaji kesemua subjek yang dipelajari.

Di sini kami kongsikan pula 5 tips yang efisien untuk belajar Sejarah!

1. Belajar topik yang sama dengan beberapa cara yang berlainan.

Pernahkah anda terfikir, bagaimana untuk memastikan otak kita boleh mengingati sesuatu maklumat pada jangka masa yang lama? Menurut kajian, jika anda mempelajari sesuatu topik dengan beberapa cara atau media yang berlainan, ia akan merangsang dan mengaktifkan beberapa bahagian otak. Rangsangan di bahagian-bahagian otak yang berlainan ini akan lebih mengukuhkan pemahaman anda tentang topik tersebut dan akan menguatkan memori otak anda.

Terdapat beberapa cara yang anda boleh lakukan bagi mencapai keupayaan ini, antaranya:

  1. menonton video pembelajaran www.SPMflix.com
  2. membaca buku teks
  3. membaca buku rujukan
  4. membuat latihan dan latih tubi
  5. membuat peta minda
  6. bersoal-jawab dengan rakan-rakan

Ya, saya tahu ianya agak membebankan untuk anda lakukan kesemua cara tersebut untuk menguasai setiap topik, tetapi cuba mulakan dengan 2 atau 3 cara terlebih dahulu. Bukankah pepatah ada mengatakan, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian?

2. Permudahkan, ringkaskan dan mampatkan maklumat.

Ini merupakan antara cara yang paling popular untuk menguasai sesuatu topik dengan cepat dan berkesan. Anda perlu menjadi kreatif dan bijak untuk memudahkan, meringkaskan dan memampatkan keseluruhan topik yang dipelajari. Sebagai contoh:

Jika anda mahu mengingati fakta kedatangan Islam ke Asia Tenggara, anda bolehlah mengingati ACI (untuk negara) dan JES (nama tokoh) dimana:

  • A: Arab -> J: John Crawford
  • C: China -> E: Emanuel Gadinho Eredia
  • I: India -> S: Snouck Hurgronje

Ayat penuh:

Pertama, terdapat teori yang Islam datang dari Semenanjung Tanah Arab. Teori ini dikemukakan oleh John Crawford. Teori yang kedua ialah Islam datang dari China. Teori ini dikemukakan oleh Emanuel Gadinho Eredia. Manakala teori yang ketiga pula ialah Islam datang dari India. Teori ini dikemukakan oleh Snouck Hurgronje.

Bukankah lebih mudah untuk mengingati fakta dengan cara begini?

3. Menulis dan meringkas nota sendiri. Jangan hanya sekadar membaca buku teks dan buku rujukan sahaja.

Dengan menggunakan tips kedua (memudahkan, meringkaskan dan memampatkan maklumat), cuba latih diri anda untuk menulis dan meringkaskan nota sendiri.

Bina kata kunci dan lukiskan peta minda yang ringkas yang boleh menjadi rujukan anda di kemudian hari. Dengan menulis nota sendiri, kebarangkalian untuk maklumat tersebut tersimpan kemas dalam memori anda adalah tinggi. Nota ini juga boleh digunakan di saat-saat genting ketika peperiksaan semakin dekat. Anda hanya perlu merujuk nota anda tanpa perlu membuka buku teks dan buku rujukan yang tebal. Tapi, pastikan nota anda ditulis dengan fakta-fakta dan maklumat yang betul ya!

4. Mengulang kaji beberapa subjek dalam masa sehari. Bukan hanya fokus kepada satu subjek sahaja.

Rata-rata pelajar lebih gemar memperuntukkan masa untuk mengulang kaji hanya satu subjek dalam masa satu hari dengan alasan untuk memberi tumpuan yang lebih kepada subjek tersebut. Ternyata cara itu adalah tidak tepat!

Sebenarnya, cara yang lebih berkesan adalah dengan mengulang kaji beberapa subjek dalam satu hari. Contohnya, pada waktu pagi anda mengulang kaji subjek Sejarah, petang subjek Matematik dan malam dengan subjek Kimia.

Dengan mengulang kaji subjek yang berlainan, otak akan “dipaksa” untuk mencari pelbagai maklumat yang berbeza sepanjang tempoh tersebut dan proses ini menguatkan lagi pemahaman dan penerimaan otak terhadap maklumat yang sedang dipelajari.

5. Proses ulang kaji yang berulang kali dan berterusan.

Disiplinkan diri anda untuk sentiasa mengulang kaji topik yang telah dipelajari berulang kali. Sebagai contoh, pada minggu ini anda mengulang kaji dan membuat nota untuk Bab 1 dan 2 Tingkatan 4. Ambil sedikit masa pada minggu hadapan untuk membaca kembali nota yang anda buat untuk bab-bab ini. Kemudian, pada minggu yang seterusnya, baca sekali lagi nota yang telah dibuat. Proses ulang kaji yang berulang kali ini akan menjadikan memori yang disimpan menjadi semakin kuat dan kekal lama dan anda tidak perlu makan kismis berkilo-kilo untuk mendapatkan memori yang kuat!

Saya berharap, anda tidak menjadi obses untuk mendapat A dalam Sejarah sebagai penentu kejayaan anda. Kejayaan anda tidak seharusnya diukur dengan gred dan markah peperiksaan.

Ianya lebih kepada bagaimana anda mencuba untuk melakukan yang terbaik dan bagaimana anda mengambil peluang untuk memajukan diri anda. Dan ingat, ianya bukanlah suatu proses yang mudah. Tetapi saya yakin, anda semua mampu untuk melakukannya!

Selamat belajar!